Sunday, July 17, 2011

LATIHAN
Apakah Implikasi Teori Pembelajaran Sosial Terhadap Pengajaran dan Pembelajaran


TEORI PEMBELAJARAN SOSIAL
Albert Bandura

Pelopor teori pembelajaran sosial ialah Albert Bandura. Beliau merupakan ahli psikologi
kelahiran Kanada dan berkhidmat di Universiti Stanford mulai tahun 1953 hingga
sekarang. Teori Pembelajaran Sosial dikenali juga sebagai teori pembelajaran peniruan
dan juga sebagai pembelajaran pemerhatian atau modeling menekankan faktor sosial
di mana manusia berfikir dan bertingkahlaku melalui pemerhatian dan meniru
tingkahlaku yang menghasilkan ganjaran.

Pembelajaran sosial menurut Albert Bandura melibatkan hubungan pengaruh tiga unsur
iaitu persekitaran, individu (kognitif) dan tingkah laku.( Ormrod, 2008)

Bandura mengemukakan model determinisme timbal balik yang mengandungi tiga faktor
utama, iaitu perlakuan, individu (kognisi) dan persekitaran . Faktor-faktor
tersebut saling berinteraksi dan mempengaruhi pembelajaran. Bandura
berpendapat bahawa perlakuan seseorang adalah hasil interaksi antara faktor dalam diri
Individu, Persekitaran Tingkah Laku dan juga persekitaran.

Melalui satu kajian ke atas kesan perlakuan kanak-kanak apabila mereka menonton
video tentang orang dewasa, Bandura mendapati bahawa kanak-kanak akan meniru
perlakuan orang dewasa tersebut. Kajian yang dinamakan kajian Patung Bobo
memperlihatkan bagaimana kanak-kanak yang melihat perlakuan ganas orang dewasa
memukul patung Bobo bertindak serupa apabila diberi peneguhan. Mengikut Bandura,
apabila tingkah laku seseorang itu ditiru, orang yang ditiru itu secara spontan menjadi
model kepada si peniru. Kesimpulan daripada kajian yang dilakukan oleh Bandura
mendapati kanak-kanak suka meniru tingkah laku yang diperhatikan terutama tingkah
laku yang mendapat peneguhan.

Menurut teori ini, terdapat beberapa cara peniruan yang boleh dilakukan iaitu :
1. Peniruan secara langsung
Peniruan secara langsung terjadi apabila seseorang melihat orang lain (model)
melakukan sesuatu dan meniru kelakuan itu.
Contohnya apabila guru menunjukkan cara menendang bola, pelajar akan menirunya
secara langsung.
2. Peniruan sekat lakuan dan tak sekat lakuan
Peniruan sekat lakuan ialah peniruan yang sesuai dilakukan dalam keadaan tertentu
tetapi tidak digunakan dalam keadaan atau situasi yang lain.
Contohnya murid boleh meniru kawan mereka bersorak di padang tetapi tidak boleh
meniru kawan mereka bersorak di dalam bilik darjah.
Peniruan tak sekat lakuan pula melibatkan tindakan yang boleh dilakukan dalam semua
situasi. Contohnya pelajar meniru gaya berbudi bahasa gurunya.
3. Peniruan Elisitasi
Peniruan ini melibatkan emosi dan keinginan.Dalam proses elitasi seseorang akan terus
lakukan apa yang dilakukan oleh orang lain jika dia sudah mengetahui cara melakukan
tingkahlaku tersebut. Contohnya timbul keinginan di hati Kamal untuk membantu
bapanya membasuh kereta setelah melihat Badrul membantu bapanya membasuh
kereta.

Langkah-Langkah Pembelajaran Peniruan


1.Tumpuan Perhatian
Individu menumpukan perhatian dan memerhatikan perlakuan model berulang kali.
2.Penyimpanan dalam Ingatan
Langkah-langkah perlakuan model akan disimpan dalam ingatan oleh pelajar. Pemerhatian
perlu disimpan dan dikekalkan dalam ingatan dan akan berlakunya proses mengenkod,
menyimpan dan mendekod.
3.Pengeluaran
Maklumat, tingkahlaku dan kemahiran yang disimpan dikeluarkan dalam bentuk
perlakuan. Kecekapan ini bergantung kepada keupayaan fizikal dan kemahiran tiruan
motor pemerhati serta kemahiran mengingat dengan tepat.
4.Motivasi dan Peneguhan
Sekiranya Individu berasa seronok dan mendapat peneguhan daripada orang lain, maka
tingkahlaku itu akan diulangi dan dikukuhkan

Model dalam teori Pembelajaran Sosial Bandura dapat dibahagikan kepada dua jenis
iaitu :
1. Model Sebenar / Model hidup
Model ini merujuk kepada model sebenar atau model langsung seperti tingkah laku
manusia, haiwan atau objek yang ditiru.
2. Model simbolik
Model simbolik merujuk kepada langkah kerja atau prosedur.Model ini boleh dalam
bentuk bahasa atau bentuk visual (gambar, carta aliran, gambar rajah).Termasuk dalam
kategori ini ialah watak dalam cerita, tokoh sejarah serta tingkah laku watak – watak
yang ditonton dan didengar melalui media dan televisyen.

0 comments:

Post a Comment